Blogger Widgets
»

Do You Love Me?

Showing posts with label PRINSIP PEMASARAN. Show all posts
Showing posts with label PRINSIP PEMASARAN. Show all posts

Sunday, March 18, 2012

CAMPURAN PEMASARAN:AGIHAN

5.0    PENGENALAN

Sebelum ini anda telah lihat dan tahu tentang produk juga harga.  Di dalam unit ini anda akan lihat pula bagaimana agihan sesuatu barang itu dapat dilakukan.  Saluran agihan atau disebut juga sebagai saluran pengedaran sangat penting kerana ianya akan menentukan sama ada produk tersebut mudah  diperolehi atau tidak.

Tahukah anda apa itu agihan?  Agihan di sini membawa maksud pihak yang terlibat secara langsung atau tidak untuk memastikan produk yang ditawarkan sentiasa tersedia dan mudah didapati oleh pengguna.  Secara ringkasnya bolehlah dikatakan dengan wujudnya saluran agihan ini akan dapat memastikan produk yang diperlukan berada tepat pada masa dan tempat yang diperlukan, juga dalam  kuantiti yang diharapkan.

 Wujudnya saluran agihan ini akan menggerakkan produk dan perkhidmatan daripada pengeluar kepada pengguna.  Tetapi tahukah anda bagaimana produk dapat digerakkan daripada pengeluar kepada pengguna.  Orang tengah atau perantara pemasaran inilah yang banyak membantu dalam mengerakkan produk tersebut.  Orang tengah  terdiri daripada pemborong, peruncit, ejen, broker, wakil pengilang dan sebagainya.  Oleh itu orang tengah penting kerana ia dapat membantu syarikat dalam menjimatkan wang, masa dan tenaga.

5.1 PERANAN SALURAN AGIHAN
           
Hadirnya orang tengah yang membantu di dalam kerja-kerja pengagihan ini banyak membantu pengeluar dalam menyelesaikan banyak masalah.  Saluran agihan ini juga dapat melengkapkan urusniaga di antara pengeluar dengan pengguna.

Ahli-ahli saluran agihan atau orang tengah ini memainkan peranan yang sangat penting.  Antara peranan yang dimainkan oleh saluran agihan ini ialah :
  
    1. Sumber penyampai maklumat
Mengumpul dan mengagihkan maklumat penyelidikan pemasaran serta perisikan pemasaran berkenaan faktor-faktor dan tekanan-tekanan dalam persekitaran pemasaran yang diperlukan untuk tujuan pertukaran, perancangan dan bantuan

      2.   Penghubung
Ahli-ahli di dalam saluran agihan ini juga dikatakan dapat mencari dan berkomunikasi dengan pembeli berpotensi.

3.      Promosi
Mereka juga boleh membentuk dan menyebarkan komunikasi persuasif berhubung dengan sesuatu tawaran.

4.      Pemadanan
Membentuk dan menyesuaikan tawaran mengikut keperluan para pembeli, termasuklah aktiviti-aktiviti seperti pengeluaran, penggredan, pemasangan dan pembungkusan.

5.      Perundingan
Persetujuan juga akan dicapai ke atas harga dan terma-terma lain sesuatu tawaran supaya pemilikan boleh dipindahkan.

6.      Pengagihan fizikal
Mengangkut dan menyimpan barangan.

7.      Pembiayaan
Mendapatkan dan menggunakan dana untuk menutup kos kerja saluran.

8.      Pengambilan risiko
Mengambil risiko dalam menjalankan kerja-kerja saluran.

            Di akhir input ini diharapkan anda akan dapat memahami peranan-peranan yang dimainkan oleh ahli-ahli di dalam saluran agihan.  Anda akan mempelajari dengan lebih mendalam lagi berkenaan saluran agihan di dalam input yang seterusnya.

5.2  TAHAP-TAHAP SALURAN AGIHAN

Saluran pengagihan boleh berlaku dalam beberapa tahap, tetapi tahukah anda apa yang dimaksudkan
dengan tahap saluran pengagihan?  Tahap saluran pengagihan ini biasanya merujuk kepada jumlah orang
tengah atau ahli saluran agihan yang terlibat menjalankan sebahagian kerja untuk membawa keluaran
dan pemilikannya lebih hampir kepada pengguna akhir.  Memandangkan kedua-dua pengeluar dan
pengguna akhir juga menjalankan beberapa tugas, mereka adalah sebahagian daripada setiap saluran. 
Kita menggunakan bilangan tahap orang tengah untuk menunjukkan kepanjangan sesuatu saluran.

Tahap-tahap di dalam saluran pengagihan ini boleh dilihat di dalam rajah berikut :
Berdasarkan rajah 5.2 ( i )  kita boleh lihat ada 4 saluran di dalam pengagihan produk pengguna.

Saluran 1  biasa juga disebut sebagai saluran pemasaran langsung, kita boleh lihat di sini di mana
hubungan secara langsung berlaku di antara pengeluar dan pengguna.  Tidak ada orang tengah atau
perantara digunakan. Produk yang biasa menggunakan saluran agihan ini biasanya mempunyai ciri-ciri
yang tidak tahan lama, namun begitu anda jangan silap faham produk yang tahan lama juga boleh
menggunakan saluran ini.  Ini bergantung kepada polisi sesebuah organisasi , kita boleh lihat produk
Amway, Tupperware dan CNI menjual keluaran mereka dari pintu ke pintu.

Saluran-saluran yang berikutnya adalah saluran-saluran pemasaran tidak langsung.  Cuba kita lihat
saluran 2, terdapat  orang tengah iaitu peruncit. Ia dikatakan mempunyai satu tahap orang tengah
sahaja. Saluran ini juga biasa digunakan, kita boleh lihat peruncit-peruncit kecil di kawasan rumah kita
juga peruncit-peruncit besar terutama di bandar-bandar seperti pasaraya Giant. Pada tahap ini
pengeluar seperti pembuat radio, pakaian, alat-alat permainan dan sebagainya menjual keluaran
mereka kepada peruncit dan seterusnya peruncit menjual terus kepada pengguna akhir.

Saluran 3 mengandungi dua tahap orang tengah iaitu pemborong dan peruncit.  Saluran ini sering
digunakan oleh pengeluar kecil produk makanan, farmasi, perkakasan rumah dan produk-produk
lain. 

Saluran 4 mempunyai tiga tahap orang tengah seperti pemborong, jober dan peruncit.  Kita boleh
lihat saluran ini digunakan dalam industri pembuatan roti, di mana jober berada di antara pemborong
dan peruncit.  Jober membeli daripada pemborong dan menjual kepada peruncit kecil yang biasanya
tidak berurusniaga dengan pemborong besar.

Saluran pengagihan yang mempunyai lebih banyak tahap jarang ditemui.  Jika kita lihat, semakin
banyak atau tinggi bilangan tahap saluran agihan ini, sudah pasti pelbagai masalah yang akan timbul, ini
kerana kurangnya kawalan akibat dari peningkatan ahli di dalam saluran agihan tadi. 

Berdasarkan rajah 5.2 ( ii ) kita boleh lihat saluran bagi produk industri atau produk untuk pemasaran perniagaan.  Pihak pemasar perniagaan boleh menggunakan tenaga jualannya sendiri untuk menjual secara langsung kepada pelanggan perniagaannya.  Ada kalanya pengeluar perlu menjual kepada pengedar industri dan seterusnya pengedar ini tadi akan menjual terus kepada pelanggan industri.  Pengeluar juga boleh menjual melalui wakil pengeluar atau cawangan jualannya sendiri kepada pelanggan perniagaan. Ia boleh menjual melalui wakil pengeluar atau cawangan jualannya sendiri kepada pelanggan perniagaan, atau ia boleh menggunakan wakil dan cawangannya untuk menjual melalui pengedar industri.  Oleh itu kita dapat lihat bahawa saluran pemasaran perniagaan atau  industri ini meliputi saluran pengagihan pelbagai tahap.

Contoh  saluran pemasaran perniagaan adalah pengeluar alat-alat gantian untuk kapalterbang mungkin boleh berhubung terus kepada pelanggan industrinya seperti Airod Sdn. Bhd., atau mungkin Airod Sdn Bhd sebagai pelanggan industri akan mendapatkan alat-alat gantian tersebut dari pengedar industri atau wakil pengeluar. Mereka mungkin  mendapatkan bekalan melalui saluran 4 iaitu di mana pengeluar akan menjual kepada wakilnya dan seterusnya wakil akan menjual kepada pengedar dan akhirnya sampai ke pelanggan industri.  Ini kerana Airod Sdn Bhd sebagai syarikat penerbangan yang juga menjalankan kerja-kerja pembaikan kapal terbang memerlukan pelbagai produk untuk kerja-kerjanya, jadi mereka memang berhubung dengan pelbagai organisasi atau orang tengah.

Di akhir unit ini, anda seharusnya telah dapat memahami takrifan yang sebenar berkenaan saluran agihan beserta peranan-peranannya.  Pengetahuan yang anda perolehi ini akan memudahkan lagi  anda  untuk memahami unit yang seterusnya iaitu promosi yang merupakan elemen terakhir di dalam campuran pemasaran.

CAMPURAN PEMASARAN:HARGA

4.1 HARGA

Setelah kita mengetahui secara ringkas apakah elemen-elemen di dalam campuran pemasaran, marilah sama-sama kita meninjau satu persatu dengan lebih mendalam setiap elemen-elemen tersebut.  Sebagai permulaan kita pelajari dahulu berkenaan dengan harga.  Pernahkah anda melihat tanda harga sesuatu barangan? Apakah yang dimaksudkan dengan harga?

      Harga merupakan sejumlah wang yang dikenakan untuk sesuatu keluaran atau perkhidmatan yang diberikan. Secara luasnya, harga adalah jumlah kesemua nilai yang pengguna tukarkan bagi mendapatkan faedah memiliki atau menggunakan produk atau perkhidmatan.  Harga merupakan satu-satunya elemen campuran pemasaran yang mengeluarkan hasil, sementara kesemua elemen lain merupakan kos.  Harga juga adalah salah satu elemen yang paling fleksibel dalam campuran pemasaran, kerana ianya mudah untuk diubah mengikut kesesuaian pasaran.

4.1.1 Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Penentuan Harga
           
Sebelum strategi penentuan harga dibentuk, sebuah firma mesti menganalisis faktor-faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi keputusan.  Sila rujuk pada Rajah 4.1, faktor dalaman terdiri daripada objektif pemasaran, strategi campuran pemasaran, kos dan pertimbangan organisasi.  Faktor-faktor luaran pula terdiri daripada keadaan pasaran dan permintaan, persaingan dan lain-lain faktor persekitaran.


Faktor-faktor Dalaman

&  Objektif Pemasaran

Sebelum penetapan harga di lakukan, sesebuah syarikat perlu  menentukan strategi mereka terlebih dahulu. Srategi yang dibentuk perlulah berdasarkan objektif yang telah ditetapkan oleh sesebuah syarikat.  Objektif yang sering digunakan termasuklah untuk terus hidup (survival), memaksimumkan keuntungan semasa, kepimpinan syer pasaran dan kepimpinan dalam kualiti produk.

(i)                 Untuk terus hidup (survival).
Objektif firma adalah untuk meneruskan perniagaan.  Perletakkan harga yang rendah adalah untuk meningkatkan permintaan dan pada masa ini untung  kurang diutamakan.

(ii)               Memaksimumkan untung semasa.
Perletakan harga bagi tujuan memaksimumkan keuntungan semasa syarikat.  Kebiasaannya harga tinggi diletakkan.

(iii)             Kepimpinan syer pasaran.
Objektif firma adalah untuk mendapatkan syer pasaran yang besar.  Firma percaya syer pasaran yang terbesar akan dapat mencapai kos yang paling minimum dan keuntungan yang paling maksima.

(iv)             Kepimpinan kualiti keluaran
Firma akan mengeluarkan keluaran yang peling bermutu dipasaran.  Harga yang tinggi diletakkan bertujuan untuk menanggung kos R & D dan kos pengeluaran satu produk yang berkualiti.

&  Strategi Campuran Pemasaran

Harga merupakan salah satu elemen di dalam campuran pemasaran.  Keputusan berkenaan harga perlu dikoordinasikan dengan keputusan merekebentuk produk, pengagihan dan promosi untuk menghasilkan program pemasaran yang konsisten dan berkesan.  Keputusan yang dibuat ke atas campuran pemasaran yang lain akan mempengaruhi keputusan penentuan harga.  Misalnya sebuah syarikat yang ingin membentuk produk yang berkualiti tinggi perlu meletakkan harga yang tinggi untuk meliputi kos yang lebih tinggi.

&  Kos

Syarikat perlu meletakkan harga yang akan meliputi kos pengeluaran, pengagihan, penjualan dan pada masa

yang sama menghasilkan pulangan yang setimpal dengan usaha dan risiko yang ditanggung. Kos sesebuah syarikat merupakan elemen yang sangat penting dalam strategi penentuan harga.  Firma yang mempunyai kos yang  terendah dapat menetapkan harga yang rendah dan akan menghasilkan jualan dan keuntungan yang
lebih.

Kos terbahagi kepada dua, iaitu kos tetap dan kos berubah. Kos tetap ialah kos yang tidak akan berubah walaupun berapa banyak  jumlah  pengeluaran atau jualan yang dibuat.  Contoh sewa dan gaji pekerja.  Kos berubah pula ialah kos yang akan berbeza pada peringkat pengeluaran yang berbeza.  Contoh kos bahan mentah yang diperlukan adalah berbeza mengikut peringkat pengeluaran.

&  Pertimbangan Organisasi

Pihak pengurusan mesti menentukan siapa di dalam organisasi yang patut menetapkan harga. Dalam syarikat-syarikat kecil, harga selalunya ditetapkan oleh pengurusan atasan dan bukan jabatan pemasaran atau jualan. Dalam syarikat-syarikat yang besar, penentuan harga biasanya dikendalikan oleh pengurusan bahagian atau pengurus lini produk.  Dalam pasaran industri, jurujual mungkin dibenarkan berunding dengan pelanggan dalam jeda harga tertentu.  Namun demikian, pengurusan atasan menetapkan harga objektif dan polisi penentuan harga dan ia sering meluluskan harga-harga yang dicadangkan oleh pengurusan tahap bawahan atau jurujual. Pihak lain yang turut terlibat di dalam penentuan harga seperti pengurus jualan, pengurus produk, pengurus kewangan dan akauntan.

Faktor-faktor Luaran

&  Pasaran dan Permintaan

Sebelum penetapan harga dibuat berasaskan pasaran dan permintaan, ahli-ahli pemasaran mesti terlebih dahulu memahami hubungan di antara dua faktor tersebut.

i)                    Penentuan harga dalam pasaran yang berbeza.

Terdapat empat jenis pasaran yang berbeza yang memberikan cabaran kepada strategi penentuan harga. Pertama, persaingan tulen, pasaran ini terdiri daripada ramai pembeli dan penjual yang berdagang dalam barangan komoditi yang serupa seperti beras, timah dan getah.  Tidak ada seorang pembeli atau penjual boleh mempengaruhi harga.  Penjual tidak boleh menaikkan harga kerana pembeli akan membeli dari penjual lain pada harga yang rendah. Strategi pemasaran tidak memainkan peranan yang penting.

Kedua, persaingan monopolistik, iaitu pasaran mengandungi ramai pembeli dan penjual yang berdagang di bawah harga yang berbeza.  Harga yang berbeza ini berlaku kerana penjual dapat membezakan tawaran mereka kepada pembeli. 
 Ketiga, persaingan oligopolistik, iaitu pasaran mengandungi segelintir penjual yang sangat peka kepada strategi penentuan harga dan strategi pemasaran antara mereka.  Produk yang ditawarkan terdiri daripada produk yang seragam seperti besi dan timah atau produk yang tidak seragam seperti kereta dan komputer.  Bilangan penjual sedikit kerana penjual baru sukar untuk memasuki pasaran.

Keempat, monopoli tulen, iaitu pasaran ini mengandungi hanya seorang penjual.  Penjual biasanya terdiri daripada kerajaan (bekalan air) atau syarikat yang dikawal oleh kerajaan (elektrik dan telefon).  Monopoli kerajaan mungkin menetapkan pelbagai  objektif penentuan harga.  Ia akan menetapkan harga di bawah kos kerana produk sangat penting kepada pengguna dan pengguna mungkin tidak berkemampuan untuk membayar kos penuh.


i)                    Tanggapan pengguna terhadap harga dan nilai

Penentuan harga yang berkesan dan berorentasikan pembeli melibatkan pemahaman tentang berapa banyak nilai yang pengguna letakkan ke atas faedah yang mereka akan terima dari produk dan kemudian menetapkan  harga yang bersesuaian dengan nilai itu. Faedah itu termasuk faedah sebenar dan faedah tertanggap.  Strategi penentuan harga yang baik mengenalpasti keperluan pengguna dan tanggapan mereka terhadap harga.  Harga mesti dipertimbangkan selari dengan elemen-elemen campuran pemasaran yang lain sebelum program pemasaran dapat ditetapkan.


ii)                  Hubungan harga dengan permintaan

Sila rujuk pada keluk permintaan pada Rajah 4.2 (a) di muka surat sebelah, ianya menunjukkan bilangan unit yang pasaran akan beli pada tempoh masa tertentu dan pada kadar harga yang berbeza.  Dalam keadaan biasa, harga dan permintaan mempunyai hubungan yang songsang.  Lebih tingggi harga, lebih rendah permintaan. Oleh itu, sekiranya syarikat menaikkan harga dari H1 ke H2, pengguna yang mempunyai belanjawan terhad akan kurang membeli ( dari P1 ke P2 ) kerana harga tinggi. Bagi produk berprestij, kelok permintaan condong ke atas ( Rajah 4.2 (b) ).  Apabila syarikat menaikkan harga dari H1 ke H2, permintaan meningkat dari P1 ke P2.  Tetapi    sekiranya harga yang dinaikkan terlalu tinggi ( dari H2 ke H3 ), permintaan  akan menurun dari P1 ke P2.  Ini adalah kerana tidak ramai pengguna yang berkemampuan untuk membayar pada harga tersebut.

&  Persaingan

Harga dan tawaran pesaing dapat mempengaruhi keputusan penentuan harga syarikat.  Apabila pengguna ingin membeli sesuatu produk, mereka akan mempertimbangkan produk tersebut dengan produk-produk pesaing.  Selain itu, syarikat yang mempunyai strategi harga tinggi dan margin tinggi akan menggalakkan ramai pesaing memasuki pasaran. Syarikat juga perlu mengetahui tentang harga dan kualiti yang ditawarkan oleh pesaing.


&  Faktor-faktor luaran lain
Dalam menetapkan harga, syarikat perlu mengambil kira faktor-faktor luaran lain seperti keadaan ekonomi, kesan harga kepada  ahli pemasaran dan juga kerajaan. Keadaan ekonomi yang meleset mempengaruhi keputusan penentuan harga kerana ia mempengaruhi kedua-dua kos pengeluaran produk dan tanggapan pengguna ke atas harga dan nilai sesuatu produk.


Di akhir input ini, anda seharusnya dapat menyenaraikan kembali faktor-faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi sesuatu keputusan dalam penentuan harga.  Sekiranya anda berjaya berbuat demikian, anda akan lebih mudah memahami input-input yang seterusnya.

4.1.2 KAEDAH PENENTUAN HARGA

Kaedah penentuan harga ini akan menstrukturkan pengiraan harga yang sebenar. Keadaan produk, jumlah jualan atau jumlah produk yang dikeluarkan oleh organisasi akan menentukan bagaimana harga akan dikira.


            4.1.2.1 Penentuan Harga Berasaskan Kos

            Penentuan Harga Tokokan-Kos

            Dalam penentuan harga ini, kos penjual akan  ditentukan dan sejumlah wang tertentu atau satu peratusan kos akan ditambah ke atas kos penjual dalam menetapkan harga.  Tokokan piawai ke atas kos produk akan dikenakan.  Bagi menjelaskan penentuan tokokan kos, andaikan sebuah syarikat pengeluar pakaian sukan mempunyai kos dan jualan terjangka seperti berikut:
Pengeluar akan mengenakan harga RM31.25 kepada pengedar bagi setiap pakaian sukan dan mendapat
keuntungan RM6.25 seunit.

Analisis Pulang Modal Dan Penentuan Harga Untung Sasaran

Penentuan harga analisis pulang modal merupakan satu lagi pendekatan dalam penentuan harga berorentasikan kos. Penentuan harga itu dikenali sebagai penentuan harga untung sasaran.  Di bawah kaedah ini, firma cuba menentukan harga di mana ia akan pulang modal atau membuat untung sasaran yang diingini.  Konsep yang digunakan dalam penentuan harga ini ialah konsep carta pulang modal. Merujuk kepada Rajah 4.3, carta pulang modal ini menunjukkan jumlah kos dan jumlah hasil terjangka pada tahap jumlah jualan yang berbeza bagi syarikat pengeluar pakaian sukan.
                                               
Kos tetap syarikat ialah RM500,000 dan ini tidak akan berubah walaupun jumlah jualan meningkat atau menurun.  Kos berubah akan dicampurkan dengan kos tetap untuk mendapatkan jumlah kos.  Kos berubah ini berubah mengikut jumlah jualan.  Keluk jumlah hasil bermula dengan kosong dan meningkat setelah setiap unit dijual.  Cerun keluk jumlah hasil menggambarkan harga ialah sebanyak RM40 sehelai. 



Keluk jumlah hasil dan jumlah kos bertemu pada 25,000 unit.  Ini ialah jumlah pulang modal.  Pada harga RM40 syarikat mesti menjual sekurang-kurangnya 25,000 helai pakaian sukan untuk pulang modal.  Pengiraan untuk mencari titik pulang modal ialah seperti formula berikut:


Jumlah pulang modal  =           Kos tetap                                          
    Harga – Kos berubah

                                    =  RM500,000
                                        RM40 – RM20

                                    = 25,000 unit

Sekiranya syarikat ingin membuat untung sasaran, ia mesti menjual lebih banyak unit pada harga RM40 seunit.  Sekiranya syarikat pakaian sukan itu telah melaburkan wang sebanyak RM1 juta dalam perniagaan tersebut dan ingin mendapat keuntungan sebanyak 30% atau RM300,000 , ia mesti menjual sekurang-kurangnya 32 500 helai pakaian agar keuntungan sebanyak 30% itu boleh dicapai.  Tetapi sekiranya syarikat meletakkan harga yang lebih tinggi, ia tidak perlu menjual sebanyak itu bagi mencapai untung sasaran.  Tetapi sasaran mungkin tidak akan tercapai sekiranya harga dinaikkan dan ini akan  menurunkan lagi jumlah jualan.  Sebenarnya , harga tersebut banyak bergantung kepada keanjalan harga dan harga pesaing.

4.1.2        KAEDAH PENENTUAN HARGA


4.1.2.1 Penentuan Harga Berasaskan Pembeli

Sesetengah syarikat menggunakan nilai tertanggap keluaran sebagai asas penentuan harga mereka.  Penentuan harga ini menggunakan tanggapan pembeli tentang nilai keluaran, bukan kos penjual.  Firma menggunakan elemen-elemen bukan harga dalam campuran pemasaran untuk membina nilai tertanggap ini dalam fikiran pembeli.

Contohnya harga sepinggan mee goreng yang dinikmati di tempat-tempat yang berbeza.  Sepinggan mee goreng mungkin berharga RM2.50 di warung, RM4.00 di restoran berhawa dingin dan RM15.00 di restoran hotel.  Setiap restoran tersebut boleh meletakkan harga yang lebih tinggi kerana nilai bertambah dengan suasana yang dinikmati oleh pembeli.


4.1.2.2 Penentuan Harga Berdasarkan Persaingan

Pengguna biasanya membuat penilaian produk berasaskan harga yang pesaing kenakan untuk produk yang serupa.  Oleh itu  pihak pemasar harus peka dengan harga yang diletakkan oleh pesaing.  Dalam penentuan harga berasaskan pesaing ini, kita akan membincangkan penentuan harga kadar kini dan penentuan harga bida tertutup.

                        2 Penentuan Harga Kadar Kini

                        Firma menetapkan harga berdasarkan harga pesaing dan kurang tertumpu kepada kos atau permintaannya sendiri.  Firma mungkin meletakkan harga yang sama , lebih tinggi atau lebih rendah daripada pesaing utama.  Firma-firma yang lebih kecil akan mengikut pemimpin pasaran.  Apabila pemimpin pasaran mengubah harga, mereka turut mengubah harga mereka.

Penentuan harga ini lebih popular di pasaran industri.  Apabila keanjalan permintaan
sukar diramal atau diukur, firma merasakan bahawa harga kadar kini merupakan
harga yang terbaik diikuti bagi mengelakkan berlakunya perang harga.

    2 Penentuan Harga Bida Tertutup

 Menurut penentuan harga ini, firma menetapkan harga sebagaimana yang dilakukan
oleh pesaing.  Apabila sebuah firma ingin memenangi kontrak, ia perlu meletakkan
harga yang lebih rendah daripada pesaing.  Tetapi firma tidak boleh menetapkan
harga di bawah kos kerana ianya akan mengancam kedudukan syarikat.  Ia juga tidak
boleh meletakkan harga yang terlalu tinggi di atas kos yang mana akan mengurangkan
peluangnya untuk memenangi kontrak tersebut.


Di akhir input ini diharapkan anda telah memahami kaedah-kaedah penentuan harga yang perlu
diambilkira sebelum perletakan harga itu dilakukan.  Anda akan mempelajari dengan
lebih mendalam berkenaan harga di dalam input yang seterusnya.

4.1.3 KAEDAH PENENTUAN PRODUK BARU

Terdapat beberapa kaedah di dalam penentuan harga.  Penentuan harga bagi produk baru merupakan
salah satu daripada strategi pemasaran.  Harga permulaan ini mudah berubah-ubah dan penetapannya
merupakan keputusan yang paling asas dalam campuran pemasaran.  Harga permulaan boleh
ditetapkan tinggi untuk mendapatkan semula kos pembangunan secepat mungkin atau menetapkan
harga yang rendah agar produk berjaya mendapat bahagian pasaran yang besar.  Firma juga perlu
menimbangkan sama ada produk tersebut merupakan produk baru yang berinovasi atau produk
imitasi.

Penentuan Harga Produk Inovasi

Penentuan harga produk inovasi terbahagi kepada dua iaitu penentuan harga penarahan pasaran dan
penentuan harga penembusan pasaran.  Marilah kita melihat  penentuan harga penarahan pasaran
terlebih dahulu.

& Penentuan Harga Penarahan Pasaran

Penentuan harga penarahan ialah menetapkan harga yang paling tinggi yang mampu dibayar oleh
pengguna. Penentuan harga ini memberi beberapa faedah terutama bagi produk yang berada dalam
peringkat pengenalan kitaran hayat produk.  Polisi ini boleh menghasilkan aliran tunai yang tinggi yang
mampu menampung kos pembangunan.

Strategi ini hanya sesuai digunakan dalam beberapa keadaan.  Pertama, kualiti dan imej produk mesti
menyokong harganya yang tinggi dan mesti terdapat jumlah pembeli yang mencukupi yang mampu
membayar pada harga tersebut.  Kedua, kos mengeluarkan pada jumlah yang rendah tidak boleh 
lebih tinggi daripada kelebihan menetapkan harga yang tinggi.  Pada akhirnya, para pesaing tidak
boleh memasuki pasaran dengan mudah dan seterusnya mengenakan harga yang lebih rendah.


& Penentuan Harga Penembusan Pasaran

Harga penembusan ini menetapkan harga yang rendah bagi menembusi pasaran dengan mudah. 
Dengan cara ini, syarikat berharap untuk mendapat sejumlah besar pembeli dan bahagian pasaran. 
Strategi ini sesuai digunakan apabila ahli-ahli pemasaran menjangka yang pesaing-pesaing akan
memasuki pasaran dengan mudah.  Pertama, sekiranya syarikat berjaya memperolehi bahagian
pasaran  yang besar dengan cepat, pesaing akan kurang berminat untuk memasuki pasaran tersebut. 
Kedua, pesaing mungkin kurang berminat untuk memasuki pasaran ini apabila strategi penembusan
digunakan kerana harga seunit yang rendah akan menghasilkan keuntungan seunit yang rendah juga. 
Pesaing mungkin mendapati yang pasaran tersebut tidak begitu menguntungkan.

Terdapat beberapa keadaan yang mesti wujud bagi membolehkan strategi ini digunakan.  Pasaran
tersebut mesti mengandungi pengguna yang sangat sensitif kepada harga agar harga yang rendah 
menghasilkan pertumbuhan pasaran yang lebih. 

 Penentuan Harga Produk Imitasi

Penentuan harga bagi produk imitasi biasanya mempunyai ketua pasaran (market leader) bagi produk
tersebut.  Lazimnya ketua pasaran akan mengeluarkan produk premium dan mungkin akan
meletakkan harga pada paras yang tinggi bagi produk premium mereka.  Dalam keadaan ini pencabar
( challenger) dan pengikut (follower) mempunyai sembilan strategi samada mengeluarkan produk yang
sama taraf (tinggi, sederhana atau rendah kualitinya berbanding penentuan harga yang tinggi,
sederhana atau rendah bagi produk imitasinya.  Pencabar dan pengikut produk harus menimbangkan
saiz, kadar pertumbuhan pasaran serta persaingan yang akan dihadapinya.


Di akhir unit ini anda seharusnya dapat mengenalpasti kaedah-kaedah di dalam strategi penentuan
harga yang boleh digunakan oleh sesebuah syarikat.  Pengetahuan yang anda perolehi ini akan
memudahkan anda di dalam mempelajari unit-unit yang seterusnya.








Thursday, December 1, 2011

CAMPURAN PEMASARAN:PRODUK

3.1 Definisi Empat Elemen Campuran Pemasaran
           
      Di dalam unit 1 dan 2, anda telah mempelajari maksud pemasaran dan persekitarannya, tetapi pernahkah anda mendengar perkataan campuran pemasaran?  Di dalam unit ini anda akan diperkenalkan dengan definisi campuran pemasaran berserta dengan elemen-elemennya.

      Campuran pemasaran adalah satu set elemen-elemen pemasaran yang boleh dikawal dan berstrategi di mana setiap firma menggabungkannya untuk menghasilkan maklumbalas yang dikehendaki di dalam pasaran sasaran. Dengan menggunakan elemen-elemen di dalam campuran pemasaran, firma boleh melakukan aktiviti-aktiviti pemasaran untuk mempengaruhi permintaan terhadap produknya.  Ia mengandungi empat elemen iaitu produk, harga, saluran agihan dan promosi atau lebih dikenali sebagai  ‘4 P’ (product, price,place and promotion).

      a)         Produk
Produk merupakan apa sahaja yang boleh ditawarkan kepada pasaran untuk perhatian , pemilikan dan penggunaan  yang boleh memuaskan kehendak dan keperluan, samada barangan atau perkhidmatan.

b)          Harga
Harga adalah sejumlah wang yang dikenakan untuk sesuatu produk.

c)          Saluran Agihan
Saluran agihan merupakan satu set organisasi yang saling bergantungan dan terlibat di dalam proses pembuatan produk untuk kegunaan pengguna akhir atau pengguna perniagaan.

d)         Promosi
Promosi merupakan bentuk-bentuk ( kaedah-kaedah ) komunikasi    yang digunakan untuk memberitahu, mengingatkan dan juga memujuk pengguna mengenai sesuatu produk yang dikeluarkan ataupun dijual oleh sesebuah syarikat. Kaedah-kaedah promosi  ini terdiri daripada pengiklanan, promosi jualan, publisiti dan jualan persendirian.

3.2 Elemen Campuran Pemasaran

Di dalam unit ini kita akan mempelajari elemen-elemen di dalam campuran pemasaran  dengan lebih mendalam.

      3.2.1 Produk
 
Produk adalah sesuatu yang ditawarkan kepada pasaran yang mempunyai sifat-sifat yang dapat menarik perhatian, dapati dimiliki, digunakan dan mempunyai faedah psikologi serta faedah fizikal yang boleh memuaskan kehendak pengguna semasa melakukan pertukaran.  Secara ringkasnya, produk boleh dikatakan sebagai sesuatu yang ditawarkan di pasaran oleh pengusaha dan mempunyai satu set ciri-ciri ketara (tangible) seperti  warna, berat,harga dan  ciri-ciri tidak ketara (intangible) seperti kepuasan , kecekapan, keberkesanan dan penyelesaian yang mana ciri-ciri tersebut diperlukan oleh pengguna.  Rajah 3.2.1(i)di bawah menunjukkan definisi produk secara umum.

 Rajah 3.2.1(i):
       Definisi Produk Secara Umum
3.2.1.1  Tahap-tahap produk

Setelah kita mengetahui definisi produk, marilah kita melihat tahap-tahap produk pula.  Produk  merangkumi  tiga tahap atau dimensi iaitu tahap produk teras, produk sebenar dan produk tambahan.

a)      Produk teras

Tahap yang paling asas adalah produk teras yang menjawab persoalan apakah yang sebenarnya atau tujuan sesuatu pembelian di buat.  Ia terdiri daripada faedah penyelesaian masalah teras yang pengguna ingin atasi apabila membeli.  Contoh: Pembelian sesebuah kereta Produa Kelisa  adalah penyelesaian kepada masalah pengangkutan ke tempat kerja .

b)     Produk sebenar

Iaitu faedah-faedah tambahan  yang ditawarkan bersama produk.  Ia dihasilkan apabila pemasar telah menetapkan beberapa ciri-ciri seperti tahap kualiti, rekabentuk, nama, penjenamaan dan pembungkusan serta ciri-ciri lain yang berkaitan dengan produk.  Contoh: Merujuk kepada ciri–ciri yang terdapat pada kereta Kelisa yang menyebabkan berlakunya pembelian seperti terdapatnya aksesori penghawa dingin, system audio yang canggih, kusyen yang lembut, warna yang menarik atau harganya lebih murah dari jenama-jenama kereta yang lain.

c)      Produk tambahan.

Faedah-faedah tambahan yang ditawarkan bersama-sama produk bagi mewujudkan perbezaan di antara produk sesuatu syarikat dengan pesaing-pesaingnya seperti khidmat penghantaran, khidmat selepas jualan, kredit, jaminan dan lain-lain lagi.  Contoh: Merujuk kepada ciri-ciri tambahan yang ditawarkan bersama-sama kereta Kelisa seperti kemudahan pembayaran ansuran/kredit, deposit yang rendah, caj servis dan pembaikan yang minimum  serta keramahan jurujual.

Setelah mempelajari unit ini, diharapkan anda telah dapat mengenalpasti dengan tepat apakah tahap-tahap produk yang berada di persekitaran anda.  Teruskan mendalami pengetahuan anda tentang produk di unit-unit yang seterusnya. 

3.2.1.2  Klasifikasi Produk

Produk pada amnya boleh dibahagikan kepada dua kelas besar berdasarkan kepada cara-cara penggunaannya iaitu produk pengguna dan produk industri.

      a)         Produk pengguna
Produk pengguna adalah produk yang dibeli oleh pengguna akhir untuk kegunaan peribadi, ahli rumahnya atau keluarganya.  Produk pengguna termasuklah produk mudah beli, produk beli belah, produk istimewa dan produk tidak dicari.  Produk ini berbeza dari segi cara pengguna membelinya yang mana menyebabkan ia berbeza pula dari segi cara pemasar memasarkannnya.  Klasifikasi produk pengguna ini dapat diringkaskan melalui rajah 3c(i) di muka surat berikutnya.

            ☻        Produk Mudah Beli
Produk mudah beli adalah produk dan perkhidmatan yang kerap dibeli oleh pengguna, dibeli secara serta merta dan usaha perbandingan di dalam pembelian yang minimum. Di antara ciri-ciri produk mudah beli adalah ia berharga murah dan contoh produk mudah beli adalah seperti sabun, gula-gula, suratkhabar,makanan segera dan ubat gigi.  Produk mudah beli dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu produk asasi, produk gerakhati dan produk kecemasan.

Produk asasi : Produk yang dibeli secara berulang kali.
                        Contoh : kicap, ubat gigi atau makanan ringan.

                       Produk gerakhati:  Produk yang dibeli dengan perancangan atau usaha yang amat sedikit. 
                                                       Ia dibeli secara spontan dan secara cepat apabila terpandang produk  
                                                       tersebut. Produk ini biasanya diletakkan     bersebelahan dengan kaunter
                                                       pembayaran.    
                                                       Contoh : coklat, bateri dan majalah.

                       Produk kecemasan:  Produk dibeli apabila terdapat keperluan yang terdesak.
                                              Contohnya : membeli payung apabila hari hujan.
                                   
            ☻       Produk Membeli Belah
 Produk membeli belah adalah produk yang mana pengguna akan terlebih dahulu mendapatkan
 maklumat lanjut mengenai ciri-ciri produk, harganya dan pilihan-pilihan yang ada sebelum
 membelinya.  Produk ini biasanya jarang dibeli, mahal harganya dan memerlukan banyak masa
 dan usaha dalam mengumpulkan maklumat serta membuat perbandingan ketika membeli.
  Contoh produk membeli belah adalah pakaian, perabot, barang kemas, kasut dan kereta.
           
            ☻      Produk Istimewa
Produk istimewa mempunyai ciri-ciri unik dan istimewa kepada pengguna.  Pengguna sangat setia kepada jenama yang tertentu dan sanggup membayar pada harga yang tinggi.  Pengguna selalunya tidak membandingkan produk istimewa sebaliknya melaburkan masa untuk mencari jurujual yang menjual produk yang dikehendaki. Contohnya, jenama spesifik, jenis kereta, peralatan fotografi yang berharga tinggi dan pakaian oleh pereka fesyen terkenal

            ☻      Produk Tidak Dicari
 Produk tidak dicari boleh dibahagikan kepada dua sebab mengapa ia tidak dicari  iaitu:

i.  Produk berada di pasaran tetapi tidak disedari oleh pengguna.
ii. Produk sudahpun diketahui oleh pengguna tetapi pengguna belum lagi mahu membeli, contohnya seperti ensiklopedia dan perkhidmatan derma darah.

Jadual 3c(i):
Jadual  Menunjukkan Pertimbangan Pemasaran Untuk Keluaran Pengguna




PERTIMBANGAN
PEMASARAN

JENIS PRODUK PENGGUNA


MUDAH BELI


BELI BELAH

ISTIMEWA

TAK DICARI




Kelakuan membeli pelanggan
Kerap membeli, sedikit perancangan, sedikit perbandingan
atau usaha membeli belah, penglibatan pelanggan yang rendah
Pembelian tidak begitu kerap, banyak perancangan dan usaha mebeli belah, perbandingan jenama berdasarkan harga, kualiti dan gaya
Keutamaan dan kesetiaan jenama yang kukuh, usaha pembelian yang khusus, sedikit perbandingan di antara jenama, sensitivitI harga yang rendah.
Sedikit  kesedaran, pengetahuan  atau jika sedar, minat adalah sedikit atau negatif terhadap
produk.

Harga


Harga rendah

Harga tinggi

Harga tinggi

Berbeza-beza




Pengagihan
Pengagihan tersebar luas, lokasi yang memudahkan.
Pengagihan selektif di beberapa kedai sahaja.
Pengagihan eksklusif di dalam hanya satu atau  beberapa kedai bagi setiap pasaran.
Berbeza-beza.



Promosi
Promosi yang tidak terlalu agresif.  Promosi massa oleh pengeluar.
Pengiklanan dan penjualan peribadi oleh pengeluar dan penjual semula
Promosi yang lebih tersasar oleh pengeluar dan penjual semula
Pengiklanan agresif  dan penjualan peribadi oleh pengeluar dan penjual semula.



Contoh-contoh
Ubat gigi, majalah, sabun basuh
Peralatan elektrik utama, televisyen, perabot dan pakaian.
Barangan mewah seperti jam tangan Rolex ,kalung diamond atau kristal.
Insuran nyawa dan pendermaan darah 

            b)         Produk Industri
   
Produk industri adalah produk yang dibeli untuk diproses lagi atau untuk digunakan bagi menjalankan perniagaan.  Oleh itu, perbezaan di antara produk pengguna dan produk industri adalah berdasarkan kepada tujuan pembeliannya.  Jika pengguna membeli satu mesin rumput untuk digunakan di dalam perniagaan landskapnya, mesin rumput tersebut adalah  produk industri.  Tiga kumpulan produk industri termasuklah bahan dan bahagian ganti, item modal serta  bekalan dan perkhidmatan. 

☻        Bahan dan bahagian ganti.

Bahan dan bahagian ganti termasuk bahan dan bahagian yang telah diproses. Bahan dan bahagian yang telah diproses terdiri daripada bahan-bahan  komponen ( besi, benang, simen, dawai ) dan bahagian komponen ( motor kecil, tayar).  Kebanyakan bahan dan bahagian yang diproses dijual terus kepada pengguna industri.  Harga dan perkhidmatan adalah faktor pemasaran utama manakala penjenamaan dan pengiklanan adalah kurang penting.

☻        Item modal.

Item modal adalah produk industri yang membantu di dalam pengeluaran atau operasi pembeli, termasuklah pemasangan dan kelengkapan aksesori.  Pemasangan terdiri daripada pembelian utama seperti bangunan ( kilang, pejabat) dan kelengkapan yang dipasang (seperti generator, drill, sistem komputer besar dan lif).  Kelengkapan aksesori termasuklah kelengkapan dan peralatan kilang boleh alih (seperti alatan tukang dan lori angkut) dan kelengkapan pejabat (seperti  mesin faks dan meja).  Ia mempunyai jangka hayat yang lebih singkat daripada pemasangan dan ia membantu di dalam proses pengeluaran.

☻        Bekalan dan perkhidmatan

Bekalan termasuklah bekalan operasi ( minyak pelincir,bahan api , kertas, pensil) dan item pembaikan dan penyelenggaraan ( seperti cat, paku dan penyapu).  Bekalan adalah produk  mudah beli bagi industri kerana ia selalunya dibeli bagi melicinkan kerja-kerja pengurusan dan pengeluaran .  Produk ini tidak akan menjadi sebahagian daripada produk siap yang dikeluarkan oleh firma-firma tersebut.  Ia diperolehi  dengan usaha atau perbandingan yang minimum.  Perkhidmatan perniagaan termasuklah perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan (seperti cucian tingkap dan pembaikan komputer), pengangkutan, pengiklanan, kejuruteraan dan perundangan ( khidmat nasihat dan juru runding).

3.2.1.3 Penjenamaan, pembungkusan, pelabelan, jaminan dan kitaran hayat produk.

Di dalam unit ini, kita akan mempelajari apakah yang dimaksudkan dengan penjenamaan, pembungkusan, pelabelan, jaminan dan kitaran hayat produk.

a)         Penjenamaan
                       
Jenama juga boleh dikenali sebagai nama, istilah, tanda, simbol dan rekabentuk produk atau kombinasi kesemuanya yang bertujuan untuk membezakan sesuatu produk pengeluar  dengan pesaing-pesaingnya di pasaran.

Terdapat beberapa definisi jenama yang berkaitan dengan konsep penjenamaan iaitu:

Nama jenama            ( brand name)                        - ialah sebahagian daripada jenama yang boleh disebut dan mengandungi perkataan, huruf dan nombor seperti Colgate, Proton Saga dan 7-eleven.

Tanda jenama(brand mark)                        - ialah  sebahagian daripada jenama tetapi dalam bentuk simbol, rekabentuk, warna dan huruf yang unik yang dapat dilihat tetapi tidak boleh disebut seperti lambang harimau (Maybank), burung (Celcom) dan singa (F& N).

Tanda perdagangan ( trade mark)  - ialah satu jenama yang telah diterima pakai oleh penjual dan telah mendapat kelulusan pendaftarannya mengikut undang-undang untuk digunakan oleh penjual secara eksklusif.  Ia juga disebut  sebagai jenama, tanda jenama atau kombinasi di antara keduanya tetapi bukan semua jenama adalah tanda perdagangan.  Tanda perdagangan yang telah didaftarkan akan mempunyai tanda®, contohnya tape Scoth Brand® dan Master card®.

Pemilihan Jenama Yang Baik.

Produk yang menggunakan jenama yang baik dapat menyumbang kepada kejayaan sesuatu produk atau perkhidmatan di dalam pasaran.  Di antara ciri-ciri jenama yang baik ialah:

i)          Menyarankan sesuatu faedah dan kualiti produk.  Contoh: Double A ( kertas A4) dan Pro xtraX  (LCD projector).
ii)         Mestilah senang disebut, dikenalpasti dan diingati.  Contoh: Teh Cameron dan Lux.
iii)        Sangat unik atau berbeza dari produk lain di pasaran.  Contohnya Honda, City Link dan Renong.
iv)        Dapat disesuaikan dengan keluaran produk baru yang bakal ditambah ke dalam lini produk sedia ada. Contoh Pampers, Proton dan Nestle.
v)         Dapat didaftarkan dan dilindungi oleh undang-undang tempatan dan antarabangsa.

Jenis-Jenis  Jenama.

Syarikat boleh mengklasifikasikan jenama berdasarkan jenis-jenis jenama yang dipilih iaitu:
           
◘          Jenama Pengeluar
Pengeluar mempunyai dua pilihan iaitu samada menggunakan jenama individu atau nama keluarga.  Jenama pengeluar adalah jenama yang dipunyai dan dibentuk oleh pengeluar sesuatu produk.  Biasanya menggunakan nama syrikat.  Contoh: Yeo’s, National dan Hitachi.

            ◘          Jenama Individu.
Setiap produk syarikat yang dijual akan menggunakan jenama yang berlainan.  Kebaikannya adalah, sekiranya produk gagal di pasaran, ia tidak akan menggugat jualan syarikat bagi produk yang lain.  Contoh : Produk sabun syarikat P & G  menggunakan jenama  Dash dan Oxydol.

            ◘          Jenama Keluarga
Kesemua produk syarikat menggunakan jenama yang sama contohnya: peti sejuk Sanyo, kipas angina Sanyo dan penyaman udara Sanyo.  Kelebihannya adalah kos promosi dapat dikurangkan kerana pengguna telah mengetahui tentang jenama dan kualiti produk di bawah jenama tersebut.

            ◘          Jenama Pengedar
Terdapat banyak syarikat yang tidak berupaya mengeluarkan produk tetapi pakar di dalam pengedaran.  Contoh: Singer dan Besta.  Mereka tidak mempunyai kilang pengeluaran tetapi menjual produk di pasaran menggunakan jenama mereka sendiri.

                        ◘          Jenama Generik
Jenama produk yang hanya menerangkan jenis produk itu sahaja, ia tidak ada jenama pengeluar mahupun jenama pengedar.  Contoh: ikan masin, penyapu lidi dan  paku.

          ◘           Jenama Kombinasi
                                    Gabungan jenama keluarga dan persendirian.
                        Contoh:Protan Saga, Proton Wira, Pampers Baby Dry.

          Faedah-Faedah Penjenamaan.

          Terdapat beberapa faedah yang diperoleh daripada penjenamaan iaitu:

i) Kepada pemasar/pengeluar 

      - dapat membentuk kesetiaan pengguna.                                  
      - dapat memantu memperkenalkan produk baru.

ii) Kepada peruncit                  

- dapat menarik pengguna yang suka kepada produk berjenama.
      - membaiki imej kedai.
      - meningkatkan keupayaan untuk bersaing.

iii)  Kepada pengguna

      - dapat membezakan produk yang hampir serupa.
      -dapat memudahkan belian.
      -dapat menunjukkan kualiti dan imej pembeli.

            b)         Pembungkusan

Pembungkusan melibatkan aktiviti merekabentuk dan mengeluarkan bekas atau pembungkus untuk sesuatu produk.  Fungsi-fungsi pembungkusan ialah untuk menyimpan dan melindungi produk, menarik minat pembeli untuk membeli, dan menambahkan kualiti produk.  Keputusan perlu dibuat mengenai elemen-elemen tertentu bagi pembungkusan seperti saiz, bentuk, bahan, warna, tekstur dan tanda perniagaan.   Pembungkusan inovatif adalah pembungkusan yang boleh memberi syarikat kelebihan di dalam mengatasi pesaing.  Di dalam  persekitaran pemasaran,  pembungkusan merupakan peluang untuk penjual mempengaruhi pembeli.

Pembungkusan merangkumi :

(i)                 Pembungkusan primer- merupakan bungkusan utama produk.  Contoh: ubat gigi Colgate dibungkus dengan tiub.

(ii)               Pembungkusan sekunder- merupakan pembungkusan yang dibuang apabila produk hendak digunakan.  Contoh: kotak kadbod yang mengandungi tiub uabt gigi Colgate

(iii)             Pembungkusan  perkapalan- diperlukan untuk menyimpan, mengenalpasti dan menghantar produk.  Ia melindungi pembungkusan skunder, primer dan produk secara keseluruhannya.  Contoh: Kotak-kotak besar yang mengandungi kotak-kotak Colgate kecil.

            d)         Pelabelan

Pelabelan merupakan sebahagian daripada pembungkusan yang mengandungi maklumat bercetak atau bersama produk.  Label mungkin menghuraikan beberapa perkara mengenai sesuatu produk seperti siapa pengedar, di mana ia dibuat, kandungannya dan bagaimana menggunakannya dengan selamat.  Label juga boleh mempromosikan produk melalui grafik yang menarik.

            e)        Jaminan

Jaminan bertujuan memberi perlindungan kepada pembeli dan maklumat penting tentang sesuatu produk.  Jaminan mengesahkan tentang kualiti dan prestasi sesuatu produk.  Ia adalah satu kenyataan yang menyatakan tanggungjawab pengeluar ke atas sesuatu produk yang dijual kepada pengguna sekiranya terdapat sebarang kecuaian atau kerosakan semasa penggunaan produk tersebut.

f)         Kitaran Hayat Produk

Produk mempunyai beberapa peringkat yang perlu dilalui yang mana disebut juga sebagai kitaran hayat produk.  Lazimnya apabila sesuatu produk baru dilancarkan sudah tentu organisasi mengharapkan hayat yang panjang dan menguntungkan.  Pihak firma sedar bahawa setiap produk mempunyai satu kitaran hayat walaupun bentuk dan panjangnya yang sebenar tidak diketahui lebih awal.

Rajah 3d (i) menunjukkan satu kitaran hayat produk yang biasa, jualan dan keuntungan yang dikecapi bagi sepanjang hayat produk tersebut.  Kitaran hayat produk ini  mempunyai empat peringkat yang jelas sebagaimana yang dilukiskan pada rajah di bawah.


Tahap Pengenalan      -        Pada masa ini pertumbuhan jualan adalah
           lembab.           
 -        Produk baru mula diperkenalkan
       -        Perbelanjaan adalah tinggi
 -        Keuntungan tidak wujud       
       -        Memerlukan sokongan promosi yang hebat.

Tahap Pertumbuhan  
 -         Jika produk baru ini  memuaskan  pasaran memasuki peringkat  
           pertumbuhan.
       -         Jualan  mula mengalami peningkatan.
 -         Keuntungan mulai meningkat.

Tahap Kematangan                     
                                           -         Pertumbuhan jualan adalah perlahan kerana  produk  tersebut telah diterima oleh kebanyakan pembeli berpotensi.
 -      Tahap keuntungan adalah statik atau menurun kerana peningkatan di dalam perbelanjaan pemasaran untuk mempertahankan produk.
  -        Syarikat akan menggunakan pelbagai strategi dari membuat pengubahsuaian produk s  ehinggalah kepada pengubahsuaian elemen campuran pemasaran yang lain.

Tahap Kejatuhan             
                                      -         Jualan dan keuntungan menurun ke paras yang rendah di mana
                                                 berterusan untuk beberapa tahun.
                                      -                   Jualan merosot disebabkan oleh kemajuan teknologi, perubahan
                                                 citarasa pengguna dan persaingan yang meningkat.
                                      -                   Pihak pengurusan boleh membuat keputusan samada untuk
                                                 mengekalkan jenamanya, menuai produknya atau mengugurkan
                                                 produk tersebut daripada line produk syarikat.                     

Rajah  3d (i): Tahap-Tahap Kitaran Hayat Produk:
 Jualan dan Keuntungan Sepanjang  Hayat Produk.