Blogger Widgets
»

Do You Love Me?

Thursday, December 1, 2011

PENGARAHAN (MOTIVASI)

UNIT 8: PENGARAHAN MOTIVASI

8.0   Pengenalan

Seseorang pengurus akan sentiasa berusaha memajukan organisasinya samada mengekalkan pencapaian organisasinya atau meningkatkannya kepada tahap yang dapat memuaskan sehinggalah matlamat organisasi tercapai dengan jayanya. Dengan itu pengurus tadi perlu memikirkan serta menghasilkan  kerjasama dalam kerja-kerja tertentu ke arah pencapaian matlamat tadi. Oleh itu motivasi akan sentiasa diperkenalkan dan diamalkan dalam organisasi supaya mendorong kakitangannya ke arah kejayaan tersebut.

Motivasi adalah suatu dorongan bagi seseorang untuk mengambil tindakan yang mahu dilakukannya. Contohnya pelajar akan diberi ganjaran $20 ringgit sekiranya dapat menjawab soalan pensyarah dalam satu sesi kuliah. Pasti pelajar tadi merasa terdorong untuk  mendapatkan ganjaran itu dan akan bertindak menjawab soalan pensyarah tadi. Begitu juga dengan manusia di dalam situasi yang berbeza akan merasa tertekan melakukan tindakan bagi mencapai sesuatu yang mereka ingini, dan pilihan mereka yang positif dalam tindakan ini dinamakan motivasi

8.1 Definisi.

Motivasi boleh diertikan sebagai satu proses psikologi yang merangsang dan mengarahkan tindakan manusia secara berterusan untuk mencapai matlamat organisasi. Contohnya, ganjaran bagi pekerja yang berjaya menyumbangkan tenaga dan idea sehingga meningkatkan produktiviti ataupun keuntungan bagi syarikat.
              
Motivasi boleh didefinisikan kepada dua iaitu;

8.1.1 Secara am motivasi adalah satu proses dalaman yang mendorong perlakuan   untuk mencapai matlamat.

8.2.1 Secara umum pula motivasi adalah satu paksaan yang menyebabkan manusia bertindak dengan cara tertentu ke arah pencapaian matlamat organisasi. Proses motivasi pula suatu proses mencipta keadaan organisasi supaya bertindak sebagai pendorong kepada pekerja supaya berusaha kepada pencapaian matlamat organisasi.

Di sini dapatlah kita tahu bahawa tujuan motivasi  dalam organisasi adalah untuk menggalakkan kerja di kalangan para pekerja, meningkatkan produktiviti serta pencapaian matlamat yang segera. Sekiranya tidak ada motivasi yang perkenalkan maka pekerja merasakan tidak bersemangat, tidak berpuashati seterusnya membuat kerja di tahap yang sama yang boleh menyebabkan produktiviti organisasi di tahap yang sama. Maka pencapaian matlamat juga adalah lambat.

Dalam contoh kita tadi, pelajar digerakkan untuk menjawab soalan pensyarah dengan kehadiran motivasi iaitu ganjaran. Kita pasti akan melihat pelajar-pelajar bertungkus lumus dan berebut untuk menjawab soalan tadi. Ini bermakna para pelajar mencuba sedaya upayanya agar jawapan diberikan adalah tepat dan memenuhi kehendak pensyarah tadi. Jika tidak ada ganjaran tersebut, pelajar mungkin merasa malas untuk menjawab dan bersikap berdiam diri di mana pensyarah tidak akan nampak kemajuan dalam diri pelajar dan hasil pengajarannya.

8.2  Teori-teori Motivasi

Kita dapati banyak teori-teori telah dihasilkan berdasarkan para penyelidik yang telah mencuba berbagai-bagai cara untuk memotivasikan pekerja bagi meningkatkan produktiviti. Teori-teori yang dihasilkan ini berdasarkan hubungan sosial manusia, prinsip hidup manusia dan juga keperluan ekonomi manusia. Dengan itu lahirlah pelbagai teori yang menyokong motivasi dalam organisasi.  Di antara teori-teori yang kita akan pelajari adalah:

8.2.1        Teori Keperluan Maslow
8.2.2        Teori Dua Faktor Herzberg dan
8.2.3        Teori X dan Y.

8.2.1 Teori Keperluan Maslow

Mengikut Maslow, setiap individu akan membawa bersama minatnya, sikap dan keinginan ke tempat kerja mereka. Maslow memberikan pandangan bahawa manusia mempunyai lima tahap hieraki keinginan yang cuba dipuaskan.
Rajah 8.1: Hierarki Keperluan Maslow

Tahap I- keinginan fisiologi
Termasuk keinginan terhadap minuman, makanan, udara dan seks.

Tahap 2- keinginan keselamatan/jaminan
Termasuk keinginan terhadap keselamatan dan kedamaian, serta bebas daripada bahaya dan ugutan.

Tahap 3- keinginan sosial
Termasuk keinginan untuk bergaul dan berhubung dengan orang lain, serta melahirkan perasaan kasih sayang.

Tahap 4- penghargaan atau kebanggaan
Termasuk keinginan supaya dihormati, perasaan harga diri dan status (darjat)

Tahap 5- kesedaran diri
Termasuk berbagai keinginan terhadap perkembangan dan kemajuan diri, pencapaian diri serta potensi.


Dari teori Maslow ini dapat dirumuskan kelakuan manusia adalah;

1.      Manusia akan sentiasa cuba memenuhi keinginan pada setiap tahap. Apabila telah dipenuhi kehendak pada tahap 1, mereka akan mencuba memenuhi keinginan pada tahap ke 2 dan seterusnya.

2.      Apabila keinginan telah dipuaskan, ianya tidak lagi mendorong kelakuan manusia. Hanya apabila keinginan masih tidak lagi dipenuhi itulah yang akan mendorong manusia untuk bertindak mendapatkan apa ingin diperolehinya.

8.2.2 Teori Dua Faktor Hertzberg

Teori yang diperkenalkan oleh Hertzberg ini juga dikenali dengan teori Pendorong atau Kesihatan.

Hasil dari penyelidikan oleh Hertzberg, beliau mengemukakan dua faktor iaitu;
a)         Faktor-faktor luar daripada pekerjaan itu sendiri yang sekiranya tidak diadakan atau disediakan oleh organisasi, maka akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pekerja-pekerja. Sekiranya faktor itu disediakan, ia tidak semestinya mendorong pekerja-pekerja untuk bekerja dengan penuh motivasi. Faktor-faktor ini  dinamakan faktor kesihatan termasuklah perkara-perkara berikut;
i)        jaminan kerja
ii)      upah
iii)    keadaan tempat kerja
iv)    status
v)      dasar syarikat
vi)    hubungan ketua dan subordinat
vii)  lain-lain faedah atau kemudahan

b)         Faktor-faktor yang sekiranya wujud akan dapat melahirkan motivasi kepada pekerja-pekerja  yang mana akan dapat meningkatkan prestasi kerja yang baik. Faktor ini dikenali dengan faktor pendorong atau pemuas. Faktor ini termasuklah;

i.        penghargaan kenaikan pangkat atau prestasi cemerlang
ii.      pencapaian dalam satu-satu tugas
iii.    tugas yang menunjukkan kemahiran serta kepakaran
iv.    tanggungjawab sepenuhnya dalam tugas

Teori ini boleh diterima oleh ramai pengurus dalam berbagai organisasi, di mana faktor-faktor pendorong ini cuba memotivasi kelakuan manusia membantu mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi.

      Walaubagaimanapun hasil yang didapati dari kedua-dua teori ini bukanlah satu-satunya rangka untuk memahami kelakuan yang bermotivasi di dalam organisasi. Manusia mempunyai keinginan yang berlainan dan terdapat pelbagai lagi faktor kerja yang dapat memberikan tingkat kepuasan kepada individu.

8.2.3 Teori X dan Teori Y

Douglas Mc Gregor membuat andaian mengenai manusia dan menamakannya sebagai Teori X dan Teori Y.

Andaian Teori X
1. Kebanyakkan manusia semulajadi tidak suka bekerja dan cuba mengelakkan diri daripada bekerja.
2.  Mereka mesti diarah , dipaksa, dikawal dan diugut supaya bekerja.
3. Tidak suka memegang tanggungjawab, mempunyai minat yang rendah  dan mahukan jaminan keselamatan.

Andaian Teori Y

1.   Bekerja dengan cara fizikal dan mental di dalam menjalankan tugas secara semulajadi.

2.   Kawalan luaran dan ugutan bukan merupakan satu cara manusia bekerja kearah mencapai objektif. Manusia akan berusaha untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.

3.   Kewajipan kepada objektif merupakan fungsi ganjaran berdasarkan pencapaian.

4.   Kebanyakkan manusia mempelajari bukan sahaja untuk menerima tetapi juga mencari tanggungjawab.

5.   Keupayaan menggunakan imaginasi, kreativiti dan kemahiran untuk menyelesaikan masalah organisasi.

6.   Di dalam keadaan corak hidup industri yang moden, potensi di peringkat intelek kebanyakkan manusia biasanya tidak digunakan sepenuhnya. Ianya bermaksud daya intelek manusia tidak digunakan sepenuhnya kerana banyak peralatan-peralatan masakini yang membantu kerja-kerja mereka.
  
8.3 Strategi Motivasi

Pakar-pakar motivasi akan mencadangkan atau mengadakan pelbagai program yang boleh meningkatkan motivasi pekerja di antaranya;

a. Ganjaran  diberikan bila mereka melakukan kerja dengan baik.

b. Pengurusan mengikut objektif iaitu pekerja akan diberi keterangan yang jelas tentang objektif syarikat agar dapat memahami kepentingan diri mereka dalam organisasi sekaligus memperbaiki diri mencapai matlamat organisasi.

c. Pengurusan berpenyertaan di mana pekerja akan mengemukakan pendapat dan idea secara berkelompok dan menimbulkan isu yang bermakna serta cuba menyelesaikannya.

d. Perluasan Kerja dan Pengayaan Kerja. Perluasan kerja akan dapat menambahkan dan memotivasikan pekerja bekerja. Sebenarnya perluasan kerja dapat mengatasi masalah kebosanan dalam melakukan kerja yang mudah dan khusus. Pada am perluasan kerja dapat membantu kepuasan bekerja berbanding pusingan kerja. Sementara itu, pengayaan kerja akan mewujudkan hubungan yang baik dengan pelanggan .

e. Pengubahsuaian Jadual kerja dijalankan dengan dua cara iaitu jam kerja boleh ubah dan perkongsian kerja di mana kedua-dua cara ini akan meningkatkan lagi kualiti kerja.

f. Insentif  seperti telah melakukan kerja dan mencapai tahap yang diingini oleh organisasi maka diberikan peluang melancong, kereta mewah dan sebagainya.

g. Kenaikan pangkat bermula dari hasil kerja mereka yang mencapai kualiti kerja yang telah ditetapkan.

8.4 Tujuan Motivasi

Motivasi yang diwujudkan dalam organisasi dengan berbagai tujuan, maka dapatlah kita mengenalpasti secara amnya tujuan motivasi adalah untuk:-

a. Memenuhi kepuasan. Pekerja yang berpuashati dan mempunyai semanagat bekerja yang tinggi akan mempamerkan kerjasama yang baik dan kepatuhan serta kesetiaan kepada organisasinya. Oleh itu, kemungkinan berlakunya mogok, sabotaj, ketidakhadiran  terhadp operasi organisasi tidak akan berlaku. Ini adalah kerana pekerja tersebut merasa puashati dengan kerja mereka yang dapat memenuhi kehendak dan keperluan mereka seperti keperluan ekonomi dan keperluan sosial setelah mereka melakukan kerja berkenaan.

b. Memotivasikan kelakuan kerja (“work-related behaviour”). Pengurus harus memahami dan mengetahui gelagat kerja yang patut dimotivasikan supaya matlamat organisasi dapat dicapai. Gelagat-gelagat seperti menyertai sesebuah organisasi, terus berada dan setia di dalam organisasi, sentiasa hadir bekerja, menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang bagi mencapai produktiviti yang tinggi, suka untuk melakukan kerja untuk kepentingan organisasi harus dimotivasikan oleh sesebuah organisasi.

c. Melicinkan atau melancarkan tugas. Motivasi dapat menghalang berlakunya perkara-perkara seperti ketidakhadiran, mogok dan sebagainya. Apabila perkara sebegini dapat dielakkan maka, tugas dan beban kerja akan menjadi lancar sekaligus melicinkan perancangan dan kerja yang harus dilaksanakan. Pengurus boleh menyediakan program latihan kepada kakitangan, memberikan kemudahan di pejabat, insentif kehadiran, hadiah tahunan sebagai alat motivasi.

d. Merangsangkan prestasi. Suasana kerja yang memberangsangkan seperti kebebasan dalam cara melaksanakan kerja akan menggalakkan pekerja untuk bekerja dengan lebih tekun dan baik lagi. Kerelaan seseorang pekerja melakukan kerjanya dengan baik akan meningkatkan prestasi kerjayanya. Oleh itu dalam jangka masa panjang, pekerja-pekerja akan bersaing secara sihat di antara satu sama lain untuk meningkatkan prestasi mereka dan sekaligus meningkatkan juga prestasi organisasi mereka.

8.5 Kepentingan Motivasi Kepada Organisasi.

Motivasi memberi banyak kebaikan kepada organisasi. Ia boleh menghasilkan pekerja yang lebih produktif. Pekerja yagn bermotivasi tinggi dan dimotivasikan dengan cara yang betul oleh pengurusnya akan menunjukkan produktiviti yang lebih daripada pekerja yang mempunyai motivasi yang rendah.

Motivasi yang tinggi akan membawa kepada tumpuan kepada kualiti. Pekerja yang bermotivasi tinggi akan menitik beratkan kualiti atau mutu kerja yang terbaik. Ini kerana mereka mengharapkan kebaikan serta keuntungan yang maksimum kepada organisasi dan diri mereka sendiri untuk jangkamasa panjang.

Motivasi juga akan membawa kepada penghasilan alternatif yagn lebih baik. Apabila seseorang pekerja mempunyai motivasi yang tinggi, dia akan sentiasa mencari alternatif terbaik untuk melakukan kerjanya supaya produktiviti dan kualiti dapat ditingkatkan.

1 comment :

  1. Harrah's New Orleans Casino & Hotel - Mapyro
    Harrah's New Orleans 삼척 출장마사지 Casino & Hotel is a 56-story high-rise building in New Orleans, 부산광역 출장안마 LA. 익산 출장샵 View a detailed profile of the structure 166601 including 양산 출장샵 further data 사천 출장안마

    ReplyDelete